Tuesday, March 12, 2013

Risda Competition : ‘KE ARAH MEMPERKASAKAN INDUSTRI GETAH’

By : Puteri Jawaher Binti Yahaya

Pendahuluan
Industri getah merupakan salah satu sektor utama dalam komoditi negara yang secara langsung menyumbang kepada hasil ekonomi. Potensi getah yang telah diinovasikan sejajar dengan usaha kerajaan dalam membentuk kemampanan ekonomi dalam negara meletakkan getah sebagai salah satu sumber yang penting. Transformasi stuktural yang dapat dilihat pada peringkat permulaan iaitu dalam industri  primer terus menjurus kepada industri sekunder yang mana telah mengembangkan lagi bidang industri kepada peringkat pemprosesan seterusnya berkembang ke peringkat pembuatan. Risda merupakan Badan Berkanun Persekutuan dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkuasa dalam memastikan kemajuan dan perancangan pembangunan sektor dalam industri getah. Pembangunan ini berkait rapat dalam meningkatkan lagi taraf dan kualiti para pekebun kecil kerana usaha mereka menyumbang kepada hasil yang penting kepada ekonomi negara. Aktiviti perladangan dan komersial giat dilakukan dibawah pemantauan pihak Risda dalam misi menjadikan masyarakat pekebun kecil yang progresif. Sejajar dengan kesungguhan itu juga kita dapat melihat visi utama Risda untuk berupaya menjadi agensi peneraju kemajuan pekebun kecil. Dalam Ucapan YBhg. Dato ‘ Wan Mohamad Zuki b Mohamad  (Ketua Pengarah Risda) mengenai dasar kualiti Risda beliau amat menekankan kesungguhan Risda dalam memberi perkhidmatan mengurus Bantuan Program Tanam Semula dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi kehendak pekebun kecil sekaligus meningkatkan sosio-ekonomi mereka.  Selain itu juga Risda bertanggungjawab mentadbir kumpulan wang perusahaan getah, melaksanakan rancangan tanam semula dan seterusnya memodenkan sektor pekebun kecil. Peranan pekebun kecil adalah penting dalam industri getah Malaysia dimana sektor ini menyumbangkan 78% dari pengeluaran getah Malaysia.
  
Pokok getah ialah jenis pokok saka dan ketinggiannya boleh mencapai 18 meter. Umur pokok getah yang ekonomik ialah diantara 20 hingga 30 tahun. Pokok getah menghasilkan lateks (getah asli) yang penting dalam industri tayar dan lain-lain industri berasaskan getah. Selain daripada itu, kayunya adalah terdiri daripada jenis separuh keras dan boleh dijadikan perabut. Sumber getah yang sememangnya menjadi komoditi yang penting dalam aliran kemodenan penciptaan pelbagai barangan dalam pasaran menyebabkan permintaan terhadap bahan mentah itu terus melonjak naik . Hal ini telah membuka ruang serta peluang bagi negara dalam memastikan ekonomi akan terus berdaya saing dengan menjadi pengeluar getah yang utama bagi negara-negara industri yang lain.

Aglomerasi industri dilihat sebagai suatu usaha dalam memperkasakan industri getah dengan efisen berikutan ianya adalah proses penglokasian industri yang dirancang, dilengkapi kemudahan utiliti dan pengangkutan, mengandungi pelbagai jenis industri yang saling bergantung antara satu sama lain supaya berdekatan dan ditempatkan di satu kawasan sahaja untuk memperolehi faedah bersama. Kebanyakan kawasan yang dipilih adalah kawasan luar bandar yang merupakan tempat perladangan getah secara komersial dan boleh dijadikan sebagai kawasan industri. Malaysia juga telah melebarkan sayapnya dengan memperluaskan kawasan penanaman getah hingga ke Sabah dan Sarawak. Jenis tanah serta potensi kawasan telah dibuat kajian sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk membangunkan tanaman getah disana dan peluang untuk peningkatan hasil ekonomi negara akan lebih cerah kerana disana terdapat banyak kawasan yang boleh dimajukan sebagai tempat perladangan getah bagi menyumbang hasil untuk indusri ini. Ianya akan memudahkan dan mempercepatkan segala aktiviti dalam industri getah kerana aglomerasi ini akan menjimatkan masa, kos dan jarak perjalanan. Industri getah disasarkan menyumbang kira-kira RM52.9 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI) pada 2020 dengan kira-kira RM30 bilion atau 56.7 peratus daripada jumlah itu disumbangkan oleh industri pembuatan sarung tangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menyedari potensi industri getah, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan akan terus mempromosikan industri tersebut sebagai salah satu sektor penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah yang diambil termasuk menjalin kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi mewujudkan inisiatif yang berupaya meningkatkan hasil ladang-ladang getah, pelaburan semula dalam infrastruktur dan meneroka pasaran serta peluang-peluang baru. Selain itu, usaha bersepadu untuk merancakkan promosi produk-produk getah terutama sarung tangan di pasaran akan dilaksanakan dan salah satu daripada fasiliti terbabit akan berfungsi sebagai pusat ujian bagi memastikan penghasilan susu getah dengan gred dan kualiti tertinggi mencukupi untuk menampung keperluan pengeluar sarung tangan getah di negara ini. Sementara itu, kata beliau juga, nilai eksport sarung tangan getah sepanjang Januari hingga Mei tahun ini adalah sebanyak RM4.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Menurut beliau, Malaysia merupakan pengeluar terbesar sarung tangan getah di dunia dan Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) merupakan destinasi import utama diikuti oleh Jepun, Brazil dan Turki. "Hasil eksport sarung tangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu mencatatkan nilai RM9.89 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.9 peratus berbanding RM8.92 bilion pada 2010," jelasnya.

Pembukaan ladang-ladang baru ini juga adalah usaha bagi mendahului Indonesia dan Thailand dalam menjadi pengeluar utama industri getah berikutan negara yang pernah menjadi pengeluar getah terbesar dunia sehingga 1987, namun kini berada di tempat ketiga di belakang Thailand dan Indonesia. Kemerosotan yang terjadi ini adalah disebabkan peralihan kepada sektor penanaman kelapa sawit yang difokuskan beberapa tahun kebelakangan ini dan bagi mengembalikan semula Malaysia sebagai pengeluar utama adalah sedikit mengambil masa. Kerajaan kini berusaha memulihkan industri getah dengan menjalankan penyelidikan berterusan seperti membangunkan klon getah baru yang mampu meningkatkan hasil dan cepat ditoreh. Klon 2025 keluaran RRIM (Rubber Research Institute of Malaysia @ Institut Penyelidikan Getah Malaysia) merupakan klon yang bermutu tinggi dan menjadi pilihan utama bagi para pekebun-pekebun kecil & pemilik ladang-ladang besar di Malaysia. Selain daripada klon tersebut, Klon PB350 dan juga klon terbaru RRIM3001 atau lebih dikenali sebagai Klon 1Malaysia juga mendapat permintaan yang amat tinggi dipasaran. Malaysia Rubber Exchange (MRE) adalah badan kawal selia yang memantau aktiviti perdagangan, pengedaran dan pemasaran getah di Malaysia.

MRE menyediakan platform dan kemudahan kepada ahli-ahli untuk menjalin kerjasama dalam hal-hal berkaitan perdagangan getah serta menjaga kepentingan ahli-ahli mengikut peruntukan peraturan dan undang-undang kecil. MRE juga berperanan sebagai pusat timbangtara untuk penyelesaian pertikaian yang berlaku. Matlamat kerajaan ke arah memperkasakan industri getah bukan semudah yang diperkatakan. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai cabaran-cabaran yang perlu ditangani dalam menjadikan usaha murni tersebut direalisasikan. Walaubagaimanapun, ianya bukanlah suatu pandangan dari sudut dinamika pesimis samata-mata, namun lebih menjurus ke arah mencungkil kelemahan bagi memperbaikinya agar dapat mengenalpasti peluang dan potensi yang harus diambil serta optimis untuk menggapai cita-cita. Meskipun begitu, selepas peralihan fokus ekonomi daripada sektor primer kepada orientasi eksport terutama dalam aktiviti pembuatan, transformasi struktural ini memberi kesan terhadap sektor pertanian termasuklah industri getah. Semenjak dari itu, pengeluaran getah dilihat lebih kepada corak pertanian yang semakin berkurangan dan tidak difokuskan lagi. Namun begitu, pengeluaran getah kekal sebagai salah satu komponen dalam ekonomi negara.

Malaysia harus memperkukuhkan asas ekonomi dengan meningkatkan kemahiran dan kecekapan modal insan yang dibangunkan. Dengan adanya peranan kerajaan dalam membantu para graduan dalam mendalami ilmu mengenai pertanian akan membolehkan penyelidikan dan pembangunan dapat dipertingkatkan maka kualiti akan bertambah serta akan menghasilkan kuantiti yang tidak dijangka. Hasil dari perkembangan proses perindustrian, pengeluaran getah menambahkan lagi suatu peranan baru iaitu sebagai komoditi yang menawarkan bahan mentah untuk pengeluaran produk berasaskan getah serta kayu getah.
Kestabilan politik juga adalah salah satu daya tarikan bagi Malaysia mendapatkan tambah nilai pelaburan dari pelabur-pelabur asing dari luar untuk memperhebatkan lagi industri getah dalam negara. Penurunan keluasan penanaman pokok getah adalah disebabkan berlakunya minat yang tinggi dikalangan pekebun kecil dan estet terhadap sektor kelapa sawit yang dianggap memberi pulangan lumayan serta harga pasaran yang tinggi dan menjadi fenomena kerana industri kelapa sawit dilihat mendapat permintaan yang tinggi. Keadaan ini secara langsung memberi kesan ke atas jumlah keluasan tanah sebelumnya apabila beralih kepada penanaman kelapa sawit apabila pokok getah mencapai tahap kematangan atau dikategorikan sebagai pokok tua. Namun, ianya dapat diatasi dengan guna tanah yang beralih kepada mewujudkan hutan ladang getah yang telah giat dijalankan oleh kerajaan, sehubungan dengan itu Malaysia mulai menjejaki kembali gelaran negara sebagai pengeluar getah nombor satu dunia.

Dari sudut pandang ekonomi pula pengurangan dalam jumlah kawasan merupakan cabaran yang harus dihadapi oleh industri getah bagi tujuan memperkasakan kembali pengeluarannya. Secara ringkasnya, keluasan penanaman pokok getah telah berkurang sebanyak 28.1% daripada tahun 2000 hingga tahun 2010. Iaitu daripada 1.43 juta hektar kepada 1.03 juta hektar. Penurunan yang lebih signifikan dilihat dalam sektor ladang atau estet dengan pengurangan sebanyak 49.67 peratus menjadikan keluasan tanaman getah ladang atau estet pada tahun 2010 pada paras 61,100 hektar berbanding pada tahun 2000 iaitu pada paras 123,780 hektar. Namun begitu, tetap berlaku peningkatan eksport getah Malaysia iaitu sebanyak 22.54 peratus daripada 548,235 tan pada tahun 2000 kepada 707,793 tan pada tahun 2010 (Lembaga Getah Malaysia, 2011). Data yang telah dkenalpasti oleh kerajaaan berhubung kawasan penanaman getah yang semakin berkurangan menyebabkan tindakan drastik diambil dengan pembukaan kawasan di Sabah dan Sarawak untuk tujuan penanaman getah menjadikan cabaran mengenai kekurangan kawasan penanaman di semenanjung dapat di atasi.

Kawasan-kawasan yang berpotensi di Sabah dan Sarawak serta tanahnya yang sesuai dijadikan ladang untuk industri getah akan dibangunkan serta mendapat galakan daripada kerajaan berikutan ianya juga akan menyumbang kepada pertambahan ekonomi negara. Aspek teknologi juga mempunyai cabaran dalam rancangan bagi mempelbagaikan industri pengeluaran barangan getah secara keseluruhannya. Hal ini demikian kerana aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang telah dibuat masih lagi tidak merangkumi semua aktiviti pada sektor hiliran sebagai contoh kerana penumpuan  kepada industri yang berasaskan celupan lateks terutamanya dalam menghasilkan sarung tangan.

Perkara ini memerlukan strategi dan inisiatif daripada teknologi yang ada seperti pengklonan benih getah untuk mentransformasikan  segala bentuk penyelidikan dan pembangunan supaya mencapai tahap yang produktif. Usaha yang berterusan hendaklah diambil bagi mempelbagaikan barangan yang dikeluarkan supaya kita tidak terlalu bergantung kepada subsektor celupan lateks yang telah menjadikan kita  sebagai pengeluar terbesar di dunia bagi sarung tangan, kateter (Catheters) dan benang getah (latex thread).  Melihat kepada sektor getah ini sendiri yang telah mencapai kematangan, industri produk getah perlu mempelbagaikan lagi dengan memberi penekanan  kepada produk-produk nilai tambah dan berteknologi tinggi merangkumi bidang pembinaan, bidang kejuruteraan dan sebagainya. Justeru aktiviti penyelidikan dan pembangunan harus diperluaskan dalam bentuk menghasilkan inovasi produk-produk berasaskan getah bagi meningkatkan daya saing sektor ini di peringkat antarabangsa.

Sokongan institusi serta penyediaan dalam hal berkaitan infrastruktur amat penting dalam usaha bagi memperkasakan industri ini kerana kerjasama dari pihak Lembaga Getah Malaysia yang terletak di bawah Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Risda dan Felcra yang terletak di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Felda yang terletak di bawah Kementerian Perdana Menteri adalah merupakan tunjang utama dalam melakukan perancangan serta pelan tindakan agar menjamin masa depan industri getah di Malaysia.  

Namun begitu, jelas menunjukkan bahawa institusi-institusi tersebut bukan sahaja terletak pada satu kementerian bahkan terletak berasingan. Keadaan sebegini akan menyukarkan kepada pembentukan satu pelan pembangunan industri getah khususnya. Jadi kerjasama yang padu daripada semua pihak akan mendatangkan hasil yang bermanfaat. Seterusnya dari segi infrastruktur, terutama sekali jalan raya, bekalan air dan elektrik adalah masih tidak mencukupi khususnya di Sabah dan Sarawak. Infrastruktur asas sebegini adalah sangat penting disediakan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab agar matlamat dari segala perancangan dalam memajukan lagi industri tanaman getah ini dapat dilaksanakan dan tercapai dengan jayanya. Dalam keadaan dunia yang semakin berkembang maju, telah meningkatkan lagi cabaran industri getah Malaysia khususnya dalam persaingan antara negara-negara pengeluar. Industri getah di Malaysia harus kekal kompetatif dalam pesaingan harga dan kualiti diperingkat antarabangsa. Getah asli negara juga terpaksa bersaing dengan getah sintetik yang mempunyai harga yang lebih kompetitif berbanding getah asli.
  
Kesimpulan
Industri getah adalah sektor yang mempunyai masa depan yang cerah dan dapat membawa kepada penghasilan jana ekonomi yang tinggi terhadap negara. Malah dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak akan menjadikan getah sebagai sumber komoditi utama dan membuka banyak peluang pekerjaan serta membangunkan tahap purata pendapatan kasar penduduk sekaligus meninggalkan sesuatu yang amat bermakna buat generasi yang akan datang. Perkembangan yang baik ini menggalakkan lagi industri getah di Malaysia menyebabkan pelbagai usaha dibuat secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti disamping tidak mengenepikan sosio-budaya dan alam sekitar. Untuk tujuan memenuhi hasrat tersebut, industri ini perlu mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti, merealisasikan penggunaan sumber, mengukuhkan asas ekonomi dan daya saingnya di pasaran domestik dan antarabangsa dunia dengan inovasi dan penciptaan teknologi yang baru. Maka industri ini perlu berdaya saing menghadapi cabaran-cabaran industri demi membawa industri ini ke satu tahap yang lebih pesat dan maju.

(1,952 patah perkataan)
Semoga bermanfaat . Hak cipta terpelihara. Hahaha. Peace !

No comments:

Post a Comment