Tuesday, March 27, 2012

Kemajuan Ummah Bergantung Pada Kewibawaan Pemimpin.



SEJARAH membuktikan kemajuan yang dicapai negara umat Islam banyak bergantung kepada kewibawaan dan kemampuan kepemimpinan mengendali dan mentadbir sesebuah negara. Kemuncak kecapaian kegemilangan umat Islam ialah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. Bahkan, pada zaman itu umat manusia berada di kemuncak kejayaan. Nilai kemanusiaan yang utuh dihayati dengan sempurna seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kehidupan bernegara. Kemuliaan tamadun itu mampu diteruskan oleh kepemimpinan Khalifah ar-Rashidin.


Kemampuan pemimpin melaksanakan nilai itu boleh menjadi penentu kepada kemajuan tamadun umat manusia. Kegagalan menghayati nilai itu, kepincangan dan kemelut hidup manusia akan wujud. Dalam suasana semasa dan masa depan, kepemimpinan negara perlu memiliki ciri untuk membawa umat Islam maju ke hadapan. Antara ciri itu ialah pemimpin negara perlu mendukung idealisme luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat serta negara. Tanpa sifat itu negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela. Keadaan semasa jelas menyokong pandangan itu bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinannya. 


Kedua, kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran mantap berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru, sistem pengendalian negara perlu bersandarkan kepada asas fahaman didukung oleh arahan Ilahi. Sistem Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya bercanggah fitrah manusia. Sesebuah negara maju tidak dapat kekal kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai nilai kemanusiaan. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya adalah fakta yang melemah dan meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.


Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik pintar. Kebolehan itu penting kepada pemimpin politik akan diamanahkan menerajui negeri dan negara. Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidun adalah bukti nyata. Dalam kajian oleh Profesor P Kotter dari Harvard Business School, 80 peratus kejayaan sesebuah organisasi bergantung rapat dengan mutu kepemimpinan. Seseorang pemimpin perlu memahami suasana negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat serta sumber negara. Mereka harus mampu menggembleng semua lapisan rakyat untuk memajukan negara pada peringkat tertinggi. Semua ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang tertinggi dalam usaha pembangunan itu.


Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa. Pada era globalisasi, sama ada kita mahu atau tidak, negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran antarabangsa. Justeru, kepemimpinan negara Islam tidak boleh memisahkan diri dengan ajaran Islam.


Untuk maju dan berjaya pada peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan syumul berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya mengatasi pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah. Kita yakin kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam menyusun dan membangunkan negara menepati fitrah manusia. Mana-mana pendekatan menyusun dan memajukan masyarakat dan negara bertentangan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan negatif di akhirat.


Islam merangkumi segala aspek pengendalian hidup untuk individu, keluarga, masyarakat dan negara. Ia berasaskan falsafah tauhid, di mana tauhid mencorak cara hidup dan menjadi inti tamadun umat Islam. Ia juga asas falsafah sistem pengendalian negara. Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpandangan semua ciri keperluan manusia berada dalam satu kesatuan. Kesempurnaan keperibadian manusia akan tercapai jika semua ciri dalam dirinya diberi tumpuan sepenuhnya. Keperluan kebendaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi secara bersepadu. Begitu juga kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Semua aspek keperluan diberi tumpuan saksama.


Dalam rangka ke arah pembentukan peribadi individu bersepadu, Islam menyarankan perlunya pelaksanaan sistem pengendalian negara dapat mendukung falsafah tauhid. Justeru, sistem pendidikan negara perlu melahirkan individu memiliki pandangan hidup sempurna, akhlak baik dan menguasai kemahiran hidup sesuai kemampuan masing-masing. Pembentukan peribadi individu memerlukan suasana menyokong segala kegiatan dijalankan setiap individu. Polisi dan dasar pentadbiran negara hendaklah mengarahkan kepada kewujudan suasana keadilan dan muafakat di kalangan masyarakat. Suasana itu akan membawa kepada keharmonian yang dapat menghasilkan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.


Berpandukan kepada pendekatan hidup berasaskan tauhid ini, pendekatan Islam dalam semua kegiatan aktiviti manusia, hendaklah menepati fitrah dan cita rasa manusia semula jadi. Islam tidak membebankan sesuatu tuntutan yang mustahil dapat dikendalikan oleh manusia. Oleh itu, Islam adalah amali untuk semua masa, tempat dan individu sama ada beragama Islam ataupun tidak. Islam berpandangan mengingkari petunjuk Allah adalah amalan zalim terhadap diri sendiri, kefahamannya dan kebijaksanaannya. Bahkan, keangkuhan kepada penolakan terhadap kebenaran wujudnya petunjuk Allah menyebabkan lahirnya pandangan hidup kebendaan dalam diri manusia dan masyarakat seperti dalam sistem ekonomi Kapitalisme dan Marxisme.


Oleh itu kepemimpinan negara umat Islam, wajib yakin kepada pendekatan Islam dan berjiwa ikhlas untuk membangun negara semoga kesemua lapisan rakyat memperoleh kemuliaan hidup serta dihormati oleh masyarakat antarabangsa.




Perkongsian drp email.

Saturday, March 10, 2012

Bersama Hayati Ringkasan Kisah Para Wanita Solehah ~



Sejarah hidup para wanita solehah dalam Islam sudah tercatat dalam Al Quran dan Hadis, marilah kita sama-sama menghayati sejarah hidup mereka agar kita termasuk dalam golongan penyumbang perjuangan Islam.

SITI HAJAR:
Siti Hajar duduk setahun dua tahun di padang pasir, di tinggalkan suami, suami datang sesekali, kemudian namanya dicipta untuk al-Quran sepanjang zaman.Tidak mungkin kita tidak mahu seperti cerita Siti Hajar ini. Tidak mahukah kita dengan apa yang dikatakan di dalam al Quran? Apakah kita masih mahukan suami kita ada bersama tiap-tiap hari dengan kita. Tidak sanggup kalau suami kita setahun sekali baru datang. Siti Hajar sanggup menciptakan keajaiban, menjadi wanita yang ditinggalkan oleh suami hanya berjumpa setahun sekali. Tetapi ditangannyalah keluar air zam-zam, dialah menghidupkan bandar Kaa’bah Makatulmukarromah. Mukjizat kepimpinan dan didikan dari suaminya iaitu Nabi Ibrahim.
KHADIJAH BINTI KHUWAILID:

Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik Allah SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.

FATIMAH AZ-ZAHRAH:
Ramai juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.

ASIAH:
Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. Allah telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. Allah juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, Allah telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan iman dan Islam dalam dirinya.

MUTIAH:

Ramai yang tidak mengetahui sejarah seorang wanita bernama Mutiah yang tinggi taatnya kepada suami tercinta. Acapkali menyediakan tongkat,air dan berhias diri demi untuk suami dan menunggu suaminya pulang dari berjihad tanpa sekelumit rasa bosan dan patah semangat.Menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga dengan seteguhnya.Dialah wanita yang akan memimpin dan memegang tali kenderaan tunggangan Fatimah az-Zahra ketika masuk ke syurga.
Ramai pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.

MARYAM:
Ramai juga yang telah terlupa kepada Si Suci Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia semenjak buaian.

NUSAIBAH:

Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah r.a.h? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah SAW begitu hebat, hinggakan Rasulullah SAW berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”
Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah SAW yang melihat peristiwa itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah SAW sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yang mengingati Ummu Imarah ini?

UMMU SULAIM:
Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu Sulaim? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”. Maka Islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.” Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini?

UMMU SALAMAH:
Siapakah pula yang mengingati isteri kedua Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya dia, bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.

AISYAH:

Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada Allah SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada Allah SWT bila ditimpa dugaan.

ASMA' BIN ABU BAKR:

Siapakah pula yang mengingati Asma’ binti Abu Bakr? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Sayidina Abu Bakar RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.

KHANSA:
Siapakah pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerana aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan Allah”.


Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati mereka? Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka? Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji? Oh masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi? Oh perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi? Oh lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gilakan untuk jadikan isteri? Siapa? Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sejarah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan.

SemogaMenjadiPembakarSemangat.