Tuesday, April 30, 2013

Komunikasi Interpersonal



Komunikasi interpersonal ialah komunikasi antara individu dengan individu lain atau individu yang berkomunikasi dengan sekumpulan individu lain. Komunikasi interpersonal adalah dinamik kerana sentiasa bergerak dan sentiasa mempengaruhi antara satu sama lain. Komunikasi interpersonal merupakan tingkahlaku yang dipelajari. Ia bukan terjadi dengan sendirinya sebaliknya adalah hasil pemerhatian dan pengalaman lalu. Selalunya komunikasi interpersonal mempunyai makna yang tersurat dan tersirat. Tidak asing bagi kita membaca atau mendengar istilah komunikasi interpersonal ini dalam kalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi pada peringkat alam bekerja. 

Istilah ini nampak sederhana. Pemahaman masyarakat luas mengenai komunikasi, justeru memperincikankan lagi mengenai  pengertian komunikasi interpersonal. Komunikasi interpersonal merupakan suatu proses penyampaian mesej dari seseorang kepada orang lain atau pihak lain. Menurut pemahaman seperti ini, komunikasi dikaitkan dengan pertukaran maklumat yang bermakna atau penting dan harus membawa pemahaman di antara orang-orang yang berkomunikasi. Komunikasi interpersonal menghendaki maklumat atau mesej dapat disampaikan dan hubungan di antara orang yang berkomunikasi dapat terjalin. Oleh sebab itu setiap orang dengan apapun tujuan mereka, dituntut memiliki penyampaian komunikasi interpersonal supaya mereka boleh memberi maklumat, bergaul dan menjalin kerjasama untuk meneruskan kehidupan bermasyarakat ini. 


Komunikasi interpersonal telah melingkupi aspek kehidupan yang luas dan dapat membantu manusia bergerak maju ke hadapan. Komunikasi interpersonal adalah aspek yang paling utama bagi penghantaran maklumat berlaku secara tepat kepada masyarakat. Komunikasi interpersonal membina percakapan, koordinasi dan kerjasama masyarakat agar produktif, dinamik dan inovatif sekaligus menghubungkan tujuan-tujuan organisasi dengan tingkat penglibatan anggota dan dinamika kemajuan masyarakat. Dalam perkembangan hubungan kerjasama yang makin efektif dan meluas, konteks komunikasi interpersonal seseorang menjadi menyeluruh bagi semua kelompok  yang lebih besar. Konteks komunikasi interpersonal, khususnya dalam bentuk diad (dua-orang) selalu melibatkan tingkat intrapersonal.


Tingkatan dan konteks komunikasi ini mewakili kelompok terkecil interaksi manusia sebelum beranjak ke dalam tingkatan dan jangkauan komunikasi kelompok, komunikasi organisasi, komunikasi publik, komunikasi massa dan komunikasi antara budaya. Komunikasi interpersonal dapat mencakup semua jenis hubungan manusia bermula dari hubungan yang paling singkat, sederhana dan biasa, yang seringkali terpengaruh oleh kesan pertama, hingga hubungan yang paling mendalam dan relatif kekal.


 “Allah yang Maha Agung telah mengajarkan Al-Quran; Dia telah menciptakan manusia; Dia telah mengajar manusia bertutur.”(Al-Quran, Surah Ar-Rahman: 1-4).


Kemahiran berkomunikasi boleh dikuasai melalui proses pembelajaran . Melalui interaksi, seseorang itu dapat bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman dengan individu lain. Individu yang mempunyai kemahiran berkomunikasi mempunyai peluang lebih baik untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya.Manusia melakukan komunikasi setiap saat dalam kehidupan seharian.  Proses komunikasi yang dilakukan oleh manusia berlaku setiap masa tanpa disedari.  Komunikasi amat penting samada dalam memuaskan kehendak-kehendak hayat atau biologi seperti makanan dan minuman ataupun kehendak sosial dan psikologi.  Maka komunikasi merupakan satu kehendak dasar selagi manusia ingin hidup bermasyarakat .

Selain itu, komunikasi juga bertindak sebagai penyebaran dan penyampaian maklumat di mana manusia sering memberitahu atau diberitahu tentang sesuatu perkara.  Pensyarah biasanya akan memberitahu tentang tugasan yang akan diberikan kepada pelajar, begitu juga dengan cara melaksanakan tugasan.  Pelajar perlu mendapatkan matlumat melalui komunikasi dengan pensyarah, rakan sekuliah ataupun dengan pihak ketiga yang lain. Komunikasi interpersonal merupakan komunikasi antara individu yang berlaku dalam keadaan yang membolehkan individu itu membalas secara terus antara satu sama lain atau lebih tepat lagi interaksi dua hala .  Ia melibatkan pasangan atau dalam bentuk kumpulan kecil. 


Proses komunikasi interpersonal juga boleh dikaitkan dengan kemahiran psikomotor yang mana ia meliputi penerimaan dan penterjemahan setiap persepsi, serta memberi maklum balas yang bersesuaian secara verbal atau non verbal .  Menurut Mohd Hamdan Adnan (1986), perbualan merupakan contoh komunikasi dua hala yang baik iaitu selepas orang yang bercakap berhenti maka si pendengar akan terus memberi reaksi terhadap apa yang telah diperkatakan dan seterusnya.