Sunday, March 13, 2011

Biarkan cintamu berkata TIDAK!


Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah  benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta  yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana  batil,  tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.

Tidak! Cinta yang suci tidak buta.   Orang beriman tetap celik  walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka  masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang  mana baik, yang mana  buruk, yang mana halal dan yang mana haram sewaktu bercinta.

Namun sekiranya buta yang dimaksudkan  tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang  dicintainya (Allah)... ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang  beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada  Ilahi.

Pernah Sayidina Abu Bakar r.a. pernah  berkata kepada anaknya, "jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu,  aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!"

Mus'ab bin Umair  pula pernah berkata kepada ibunya, "jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa  itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa  oleh Nabi Muhammad."

Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi  bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah  iman. Cinta itu telah dikotori oleh  kehendak nafsu dan bujukan syaitan.  Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan  diikuti.  Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup  mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang  benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada "apa" atau  "siapa" yang dicintainya.

Kalau sudah cinta, kita  jadi "buta"  terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan  hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa  yang kita  cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik,  maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.

Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah  kejahatan atau orang yang jahat... kita akan diperhambai sentiasa kepada  kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun  ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan,  hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita?

Cinta Orang Mukmin

Orang  mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, 
ayat ke-165 : "Orang mukmin itu  sangat bersangatan cintanya kepada Allah."

Justeru, cinta orang mukmin itu "buta"  kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin  rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua  itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan  dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip "kami  dengar, kami taat" setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al-Quran) yang datang daripada Allah.

Apabila berdepan dengan cinta Allah,  segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan  kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang  membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh  badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga  telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak  berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.

Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib  saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu  Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa  saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha  Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah.  Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab  yang hanya Dia yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan  tidak beriman...

Betapa sedihnya hati Rasulullah saw   tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu  Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya  yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang  baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa?  Kerana  Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya  Rasulullah saw... tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata  tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!

Begitulah jua jalur cinta yang luar  biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan  Nabi Muhammad saw.  Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata "tidak" ketika  teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka.  Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan  keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.

Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim  as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah  berhala,  dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi  cintanya kepada  Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi  Muhammad s.a.w telah berkata "tidak" kepada cinta-cinta yang lain kerana  cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?

Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu  kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah,  insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela  dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga  hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka  itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.

Marah biar kerana Allah. Justeru  kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita.  Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan  tidak... cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata.  Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai  bila-bila...^^


Sumber:iluvislam
.

1 comment: