SATU cara paling berkesan untuk berhubung
dengan Allah s.w.t ialah dengan bangun mengerjakan ibadat, khususnya sembahyang
Tahajud atau sembahyang di tengah malam.Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan
berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang
tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan.
Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana
taatnya seseorang makhluk yang mengaku bertuhankan Allah. Sesungguhnya, bukan
satu perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari
ketika orang lain sedang dibuai mimpi. Juga bukan satu perkara mudah untuk
berwuduk dalam suasana dingin malam yang mencengkam dan bukan mudah untuk
mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil
kepedihan.
Dengan kata lain, amalan bangun bertahajud adalah
perbuatan amat berat untuk dikerjakan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu kerana
sehari suntuk bekerja pada siang hari menyebabkan sesetengah orang yang tidur
seperti mati. Ia amat susah untuk disedarkan walaupun puas dikejut.Matanya akan
menjadi bertambah mengantuk dan tubuhnya akan menjadi bertambah penat apabila
mereka tidur lewat malam kerana asyik menonton TV atau mereka melakukan kerja
tambahan lain.
Keadaan sejuk dan suasana sunyi sepi di tengah
malam juga menjadi faktor untuk membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa
keberatan untuk berhubungan dengan Allah di tengah malam. Iman yang kurang
tebal akan membuat seseorang yang tidur nyenyak menarik selimutnya dengan lebih
kemas lagi. Sesungguhnya ketika itu adalah masa paling nikmat untuk tidur.
Namun, pada kesukaran inilah tersembunyi suatu rahsia Allah yang hanya sedikit
sekali diketahui hamba-Nya.
Sekalipun sembahyang Tahajud sekadar sunat, tetapi
kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi nilainya. Firman Allah s.w.t
bermaksud:
“Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud
(tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada
kedudukan yang terpuji."
(Surah Al-Israk: Ayat 79)
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya
sembahyang Tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia
untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya. Sesungguhnya segala
kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah
melakukannya, namun bagi mereka yang biasa, ia menjadi suatu kenikmatan pula.
Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa
satu kerugian besar jika meninggalkan sembahyang Tahajud. Di waktu inilah -
iaitu sepertiga malam, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat
hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata
taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia
di akhirat nanti. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun
malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau
isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan
yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan
jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.”
(Hadis Riwayat: Abu Daud)
Sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada
Allah bukan sesuatu yang mudah. Allah mengasihi orang yang beriman dengan
melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan yang dilarang.Sembahyang Tahajud satu
suruhan Allah dan oleh itu Allah menyayangi mereka yang mengerjakan sembahyang
ini.Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan
keberatan untuk bangun melakukan Tahajud di tengah malam.
Sebaliknya, orang yang lemah imannya akan berasa
berat untuk menolak selimutnya walaupun berat selimutnya tidak sampai setengah
kilogram.Sembahyang Tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang
mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat
lain.Sembahyang Tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu
mendekatkan diri kepada Allah.
Amalan sembahyang Tahajud bukan hanya diamalkan
umat Nabi Muhammad malah umat nabi sebelumnya.Ini bererti perintah Tahajud
bukan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad sahaja. Saidina Umar Al-Khattab
menyatakan fadilat atau kelebihan sembahyang malam dengan berkata maksudnya:
“Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (Tahajud) dengan khusyuk nescaya
dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.
Kurniaan di dunia ialah:
a. Jauh daripada segala penyakit
b. Lahir kesan takwa pada wajahnya
c. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia
d. Percakapannya mengandungi hikmat
e. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam
agama (halal dan diberkati).
Sementara empat perkara di akhirat ialah:
a. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah
berseri-seri
b. Dipermudahkan hisab
c. Cepat melalui Sirat al-Mustaqim – seperti kilat
d. Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat
melalui tangan kanan.
Walaupun manusia sedar ketinggian kedudukan
sembahyang Tahajud, namun sedikit sekali manusia yang mengaku beragama Islam
sanggup dan bersedia melakukan sembahyang ini. Bagi mereka, tidur lebih seronok
dan lebih utama daripada bersembahyang.
Sesungguhnya, manusia akan berlumba-lumba untuk
bersembahyang Tahajud sekiranya mereka dapat merasai betapa nikmatnya melakukan
amalan itu.Keheningan dan kedinginan malam seolah-olah memberi kesempatan
kepada seseorang untuk merapatkan lagi jurang hubungan antara makhluk dan
Khalik.
Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang itu
seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Berkuasa.
Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan berasa hubungannya dengan Allah begitu
hampir.Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat mendapat
layanan apabila tidak ramai orang memohonnya.Oleh itu, mohonlah keampunan dan
limpahan rahmat Allah ketika orang lain sedang tidur nyenyak.
Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih
ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan
mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya.Sebaik-baik permohonan dan
masa untuk berhubung dengan Allah ialah pada waktu malam. Sebab itu,
kurangkanlah tidur dan banyakkanlah bersembahyang di tengah malam.
sumber:Tazkirah.blogspot